Nak cari duit lebih dari rumah?

Followers

Popular Posts

April 16, 2014

Hukuman Mati 529 : Zionis Barat vs Umat Islam

Posted on by Ustaz Halim

IMG-20140325-WA0001 
Prof. Dr. Mohd. Badi’ mengepalai senarai 529 Ikhwan yang dihukum mati oleh mahkamah di bawah regim tentera Mesir.
Rampasan Kuasa yang berlaku di Mesir pada 3 Julai 2013 yang lalu banyak memberi pengajaran kepada Umat Islam yang cintakan kebebasan, keadilan dan keagungan untuk Islam. Ia merupakan peristiwa hitam dalam sejarah manusia moden apabila kebebasan yang baru dikecapi oleh rakyat Mesir sejak mereka telah menamatkan pemerintahan kukubesi tentera dengan  berjayanya Revolusi Rakyat 25 Januari 2011 akhirnya dirampas kembali oleh Perampas Kuasa dalam masa 2 tahun setengah sahaja selepas dari revolusi tersebut.
Walaupun bukan perancang atau pemula Revolusi 25 Januari, tidak syak lagi bahawa gerakan Ikhwan Muslimin adalah tulang belakang kepada rakyat Mesir yang telah menjayakan revolusi bersejarah itu. Selepas itu parti yang Ikhwan Muslimin tubuhkan iaitu Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party, FJP) memenangi  Pilihanraya Parlimen (28 Nov2011) dan Pilihanraya Presiden (24 Jun 2012) yang bebas yang pertama di Mesir sejak zaman Firaun. Dengan kemenangan demi kemenangan itu, Presiden Mursi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir pada 30 Jun 2012. Namun beliau dan demokrasi yang baru hendak dibina oleh rakyat Mesir tiba-tiba digulingkan oleh pihak Perampas Kuasa pada 3 Julai 2013 dibawah General Abdul Fattah As-Sisy dipilih dan telah bersumpah untuk menghormati dan menjalankan Perlembagaan Mesir dan mentaati Presiden yang memilihnya. BUkan sekadar merampas kuasa, bahkan Perampas Kuasa seterusnya membubarkan Parlimen, menggantung Perlembagaan, mengurung Presiden serta memilih presiden, perdana menteri dan barisan kabinetnya sendiri.
asma-beltaji 
Asy-Syahidah Asma bt Mohd Beltagy, ditembak syahid oleh penembak tepat di Medan Rabaah pada hari kejadian. Terdapat penembak-penembak tepat yang dikhaskan untuk menembak mati anak-anak pimpinan Ikhwan Muslimin.

Oleh kerana IkhwanMuslimin adalah tulang belakang rakyat Mesir dalam menamatkan pemerintahan kukubesi tentera dan membina demokrasi, maka sebaik sahaja berlakunya Rampasan Kuasa, perampas kuasa mensasarkan penghapusan jemaah Ikhwan Muslimin dan penyokong mereka bukan sahaja dengan memenjara puluhan ribu ahli-ahlinya ketika ini, bahkan ke tahap membunuh ahli dan penyokongnya walaupun dengan angka yang sangat tinggi.Hari ini bilangan yang syahid ditembak adalah melebihi 6000 orang melalui tragedi-tragedi pembunuhan beramai-ramai di Medan Rabaah, Medan Nasr dan lain-lain. Pembunuhan terus berjalan hingga hari ini terhadap penunjuk-penunjuk perasaan secara aman. Semalam (30 Mac 2014) seorang mahasiswa Al-Azhar ditembak syahid di perkarangan asrama universiti berkenaan.
Dari sejarah Ikhwan Muslimin yang panjang sejak ia ditubuhkan pada tahun 1928 hinggalah ke hari ini, masyarakat umum khususnya rakyat Mesir mengetahui bahawa ia merupakan pertubuhan terulung yang ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negaranya. Ikhwan Muslimin membantu tentera Mesir mengalahkan pencerobohan tentera Yahudi dan Imperialis Barat di dalam peperangan-peperangan tahun 1948, 1956 dan 1973. Ahli-ahli Ikhwan Muslimin telah banyak merubah badan dan institusi sekerja di Mesir dari ianya pertubuhan yang berlaku banyak penyelewengan pentadbiran dan kewangan kepada pertubuhan-pertubuhan yang bergerak bersih dan aktif memberi khidmat dan pembangunan kepada Mesir dan rakyatnya. Ikhwan Muslimin jugalah pelopor yang membersihkan pegangan dan pemikiran rakyat Mesir dari kecelaruan minda dan kejahilan tentang Islam yang hakiki kesan dari perang ideologi Barat sepanjang zaman Penjajahan Barat sejak berkurun lamanya kepada memahami Islam dalam bentuknya yang bersih dan menyeluruh. Benarlah apa yang dinyatakan oleh pengasas Ikhwan Muslimin, Imam Hasan Al-Banna (1906-1949) bahawa Ikhwan Muslimin adalah ruh baru yang mengalir di dalam jasad umat di Mesir dan di mana-mana, lalu menghidupkan jasad tersebut dengan nur ajaran-ajaran Al-Quran.
1 
Medan Raba’ah – simbol keteguhan rakyat Mesir sepanjang zaman dalam mempertahankan kebebasan dan keagungan untuk Islam.
Oleh itu Rampasa Kuasa 3 Julai 2013 ke atas Presiden Mursi dan kerajaannya yang sah dipilih rakyat Mesir melalui pilihanraya bebas pertama dalam sejarahnya adalah sama sekali bukan bermotifkan kepentingan Negara Mesir dan rakyatnya yang telah menderita sejak sekian lama. Sebaliknya rampasan kuasa tersebut adalah merupakan perlaksanaan kepada perancangan musuh-musuh Islam yang didalangi oleh Yahudi Zionis dan Kristian Barat Salibi untuk menghalang umat Islam bangkit di Mesir yang boleh memberi saingan dan halangan terhadap rancangan jahat mereka untuk terus menguasai dunia pada hari ini.
EGYPT-POLITICS-UNREST 
Suasana di dalam Masjid Rabaah, bersebelahan Medan Rabaah di hari kejadian. 2500 orang ditembak mati.
Mideast Egypt
Senarai para syuhadak Tragedi Medan Rabaah sedang ditulis di dalam Masjid Rabaah yang digunakan untuk menempatkan para syuhadak.
Apabila Presiden Barack Obama menang pilihanraya Presiden di Amerika di penggal pertamanya, ucapan sulung beliau di malam kemenangan adalah bahawa kehebatan Amerika bukan terletak pada kekuatan ekonomi, kewangan, teknologi dan ketenteraan yang Amerika miliki, walaupun Amerika memang di tempat pertama di kesemua aspek tersebut. Akan tetapi kekuatan Amerika adalah pada amalan Demokrasinya iaitu kebebasan dan keadilan. Melalui demokrasi, beliau sendiri yang berkulit hitam telah menjadi Presiden Amerika bermula pada malam tersebut.
Sebelum beliau, Presiden Bush mendakwa dengan mengumumkan kepada dunia bahawa tujuan Amerika menyerang Iraq adalah untuk menyebarkan system demokrasi menggantikan system dictator yang diamalkan oleh Presiden Saddam Hussien.
Di depan seluruh penduduk dunia, Amerika mendakwa dan mengumumkan bahawa ia mempelopori system demokrasi dan mahu mengekspot system tersebut ke Negara-negara lain di dunia demi kesejahteraan masyarakat antarabangsa dan keamanan dunia sejagat.
Namun sebaliknya, kebebasan yang baru dikecapi oleh rakyat Mesir sejak kejayaan Revolusi 25 Januari 2011 menamatkan zaman dictator pemerintahan Tentera selama 60 tahun sejak Revolusi Tentera 1952 telah dirampas kembali dari tangan rakyat Mesir untuk diserahkan kembali kepada pemerintahan kukubesi tentera. Tidak hairanlah selepas rampasan kuasa berlaku, Setiausaha Amerika yang juga Menteri Luarnya, John Kerry mengatakan bahawa, “”And the military did not take over, to the best of our judgement – so far. To run the country, there’s a civilian government. In effect, they were restoring democracy.” Bermaksud “pihak tentera bukan merampas kuasa … mereka (hanya) mempertahankan demokrasi”. Beberapa bulan selepas itu, General Abdul Fattah As-Sisy mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan Presiden Mesir yang mendatang. Sepanjang zaman pemerintahan tentera di Mesir sebelum ini, sebarang pilihanraya adalah lakonan dengan jumlah kehadiran pengundi sekitar 5% sahaja kerana keputusan pilihanraya tersebut telah dimaklumi berpihak kepada pemerintah tentera itu sendiri berserta sebarang calon presidennya.
Obama, Mideast Leaders Deliver Statements On Peace Process 
Projek “Demokrasi” Zionis Barat ke atas negara-negara Islam bukan bermakna Kebebasan dan Keadilan, akan tetapi bermakna “Ketundukan kepada Kuasa Yahudi Zionis dan Kristian Barat. Jika di luar dari kerangka itu, maka kerajaan umat Islam itu mesti digulingkan atas apa sahaja alasan dan melalui apa sahaja jalan walaupua ia akan mengorbankan ribuan syuhadak dan erti “Demokrasi” itu sendiri.
Pendirian dan tindakan Amerika merancang dan mendokong Rampasan Kuasa 3 Julai 2013 jelas menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa “Demokrasi” bukanlah matlamat perjuangan Barat terhadap Negara-negara di dunia, akan tetapi “Demokrasi” adalah alat atau cara Amerika, Zionis dan Barat untuk membuka pintu-pintu laluan bagi mereka di semua Negara di dunia kepada dominasi ekonomi, syarikat-syarikat gergasi, kewangan, budaya dan ketenteraan yang dimiliki mereka, guna untuk menundukkan rakyat dan pemerintah Negara-negara tersebut kepada agenda mereka yang membahayakan dan bukannya memperjuangkan agenda dan kepentingan rakyat negara-negara itu sendiri. Ini kita istilahkan sebagai walak atau ketundukan penuh pemerintah dan Negara tersebut kepada segala kehendak Yahudi Zionis dan Imperialis Barat.
Kita boleh mengambil iktibar daripada kes Mesir ini untuk memahami bahawa gerakan kebebasan dan liberal bukan berhenti dengan sekadar menjadi demokratik dan liberal (walaupun itu sudah cukup parah) tetapi apa yang lebih besar daripada itu ialah akan lahir daripada sistem itu sebuah kerajaan yang menjadi boneka dan berwala’ kepada Yahudi.
Sebab itu kata kunci kepada seluruh apa yang telah dan akan berlaku adalah samada sesebuah kerajaan dan negara tersebut akan memberi sokongan kepada kepentingan Zionis Yahudi. Kalaupun mana-mana kerajaan dikalangan umat Islam menyahut segala ideologi liberalism yang dicipta Barat, tetapi masih tidak menyokong agenda Zonis sepenuhnya maka kerajaan itu tetap akan digulingkan dengan apa cara sekalipun.
Dalam kes mahkamah di Mesir yang menjatuhkan hukuman mati secara borong ke atas 529 penyokong demokrasi dan sikap membisa Negara-negara Barat, adalah jelas sekali bahawa Amerika dan Israel lebih mengutamakan regim tentera bersifat dictator, kukubesi  dan korup yang memimpin Negara-negara Umat islam walaupun pendirian itu bercanggah sama sekali dari kempen “demokrasi” dan kebebasan yang mereka laung-laungkan selama ini.
Kita meyakini bahawa malam yang menyelubungi akan ada pengakhirannya dengan terbitnya fajar yang menyinsing. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat sendiri kebangkitan dan keberanian luar biasa rakyat Mesir yang berjiwa merdeka yang telah bertekad untuk menjatuhkan Rampasan Kuasa ini. Mereka akan terus menerus bangkit secara aman dalam segala bentuknya yang tersendiri. Bilangan mereka terus menerus bertambah dari hari kesehari dari kalangan rakyat Mesir yang berjiwa merdeka yang telah yakin bahawa selama ini mereka telah diperdaya dan dipermainkan oleh pihak Perampas Kuasa agar mereka jauh dari cita-cita murni terhadap masa depan Negara mereka. Dengan pertolongan Allah, mereka yakin bahawa kemenangan dari Allah itu adalah dekat dalam mengalahkan pihak Perampas Kuasa yang kejam lagi khianat.
Firman Allah swt :
وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيز
Bermaksud,”Sungguh Allah pasti akan memenangkan orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa”.

Ustaz Halim  www.inijalanku.wp.com

No comments: