October 22, 2013

coretan dari Himmah 2013

Himpunan Mahasiswa 2013...

Berkumpulnya sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi daripada seluruh pelusuk tanah air. Ini pertama kali saya menghadiri program Mega anjuran Pembina pada tahun ini. Himmah yang memasuki edisi ke 2 dalam sejarahnya telah membuka mata saya melalui beberapa pengisiannya.
Meskipun saya hadir bukan lagi membawa status mahasiswa, sebaliknya status sebagai pensyarah. menyelinapnya saya masuk adalah kerana ingin kembali mendapatkan tenaga mahasiswa sejak 2 tahun meninggalkan alam kampus. Bersama saya membawa beberapa pelajar saya yang merupakan ahli Pembina di IPT saya.

Tema Aktvisime dan kepimpinan yang diketengahkan oleh Pembina adalah sesuatu yang menarik. Kerana keadaan semasa dan ancaman-ancaman yang berlaku, alhamdulillah mereka mampu lihat dan bangkit untuk membina kembali legasi-legasi dahulu yang telah hilang. 

sejarah awal negara kita Malaysia sebenarnya telah banyak digerakkan dan dibangunkan oleh golongan mahasiswa sejak tahun 70-an dan 80-an. terutamanya sejarah kebangkitan islam antara penggerak utamanya adalah mahasiswa islam pada zaman alwal dahulu.

"Antara pemimpin mahasiswa yang aktif bergerak dalam gerakan mahasiswa kala itu antaranya Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Shabery Chek, Puad Zarkashi, Saifuddin Abdullah, Saifudin Nasution, Sanusi Junid, Ibrahim Ali dan ramai lagi pemimpin yang kita kenali pada hari ini sebagai pemimpin masyarakat. Mereka ini dahulu lahir sebagai satu kelompok yang independen, kritis dalam berfikir serta berani menyuarakan pandangan." Begitu juga gerakan ABIM  yang menonjol ketika itu. Juga ada gerakan tarbiyah ketka itu secara senyap-senyap dan tidak menonjol. Juga ada gerakan jemaah Al-Arqam yang mendapat sambutan hebat anak-anak muda zaman itu.

Perjuangan yang mereka bawa ketika itu sesuai dengan zamannya dan ancamannya. Namun zaman kini jika kita berkata tentang siapakah tokoh mahasiswa yang berani, berpengaruh dan menjadi cermin kepada pemerintah dalam setiap langkah dan tindakannya. Kita mungkin akan merujuk kepada Adam Adli, Khalid ismath dan lain-lain gerakan mahasiswa. Ya mereka berani, bersuara dan mendapat liputan luas. Tetapi bagi saya sayang, apa yang mereka perjuangkan berasaskan sentimen dan emosi semata-mata tanpa tindakan bijak dan penuh strategi. Akibatnya ia memungkinkan mereka menjadi alat propaganda oleh mana-mana pihak yang menangguk di air keruh terutama parti politik. Juga asas perjuangan mereka tidak atas dasar yang kukuh hanya membawa isu-isu ranting tetapi popular di kalangan rakyat marhain dan tidak salah apa yang mereka perjuangkan. Bagi saya pujian juga boleh diberikan kepada mereka kerana berani dan tegas.  Kalau boleh biar ramai lagi yang muncul, tetapi biarlah ada batasnya.

Namun persoalan saya tercetus setelah pulang dari HIMMAH 2013. Dimanakah tokoh-tokoh mahasiswa islamis yang membawa arus dan agenda yang jelas. Bukankah mereka di IPT-IPT begitu giat membuat usrah, seminar, kempen, daurah, rehlah, forum dan berbagai-bagai lagi program. Mengapakah golongan ini tidak mengambil tempat Adam Adli, Khalid Ismath dan lain-lain. Sampai bilakah mereka akan menjadi ekslusif dan tenggelam sahaja. Sedangkan apa yang mereka faham dan cuba bawa adalah sesuatu yang lebih hebat dan besar agendanya daripada yang lain. kegagalan gerakan Mahasiswa memahami medan tempur mereka adalah sesuatu yang sangat rugi. Kerana mereka akan tewas dan terkebelakang dengan mudah oleh musuh  mereka. Justeru itu, gerakan mahasiswa haruslah memahami medan mereka, halangan dan mengenali potensi mereka untuk kembali bangkit. Jika tidak, mereka akan sentiasa membazir masa dan tenaga kearah perjuangan yang tiada impak dan cara lama.

Himmah mencetuskan ledakan agar setiap mahasiswa merasakan mereka adalah pemimpin dan mengambil posisi yang hilang itu. Saya merujuk kepada Mahasiswa islamis, atau lebih tepat mereka yang membawa dan memahami fikrah Hasan Al Bana. Timbul dan popularnya tokoh-tokoh liberal, sekular dan plural hari ini adalah kelompongan yang ditinggalkan oleh tokoh mahasiswa islamis. Sedangkan merekalah yang sepatutnya berani bersuara, mara ke hadapan mengisi legasi gerakan mahasiswa yang hilang.

Justeru itu, saya yakin apa yang dicetuskan oleh Pembina ini adalah sesuatu yang positif untuk masa depan negara kita. Setiap mahasiswa harus merasakan mereka adalah pemimpin. walaupun mereka tidak memegang jawatan besar. Cukup mereka menggunakan pengaruh dan suara mereka, saya kira pasti berlaku ledakan hebat dalam arus mahasiswa di semua kampus. Dalam bahasa yang lebih mudah, kita mahu arus baru dalam gerakan mahasiswa yang berlandaskan nilai-nilai islam yang syumul. Bukan sebahagian-sebahagian sebagaimana yang dibawa oleh kebanyakan persatuan-persatuan dan kelab-kelab. Mereka tidak memahami islam secara keseluruhan lalu memperjuangkan keyakinan itu pada akar keyakinan yang sebahagian itu. Saya yakin jika mereka memiliki fikrah itu, pasti sudah lama gerakan mahasiswa gencar dan memberi impak. Realiti kini ia semakin lemah dan layu. Tiada aura. Inilah yang harus dan menjadi tanggungjawab Pembina dan gerakan-gerakan mahasiswa yang faham untuk dilaksanakan. Mengikut acuan asli dakwah tetapi tampil lebih segar dan menarik. Inilah kewajipan kita semua.

Lesunya gerakan mahasiswa hari ini adalah kerana mereka sudah hilang asas kepada perjuangan dan tidak tahu apa yang mereka mampu perjuangkan. Kesan serangan pemikiran menyebabkan mahasiswa dilekakan oleh budaya dan serangan hiburan yang melampau dan jauh dari budaya ketimuran. Seterusnya berlaku proses normalisasi menurut Ust Fauzi, iaitu budaya-budaya barat dan kemaksiatan menjadi perkara normal dalam masyarakat. Budaya percintaan menjadi perkara normal dalam kehidupan sebahagian mahasiswa, ke sana dan kemari tanpa halangan. Akhirnya kita lihat di dada akhbar banyak kes anak luar nikah dan buang bayi berlaku. Sementara surau-surau kosong manakala kini wujud pula banyak pusat-pusat karaoke yang rata-rata dikunjungi anak muda termasuk mahasiswa. Ini semua akibat mereka tidak mengenal siapa diri mereka dan apa tujuan hidup sebenarnya. jatidiiri mereka sudah hilang dan ini adalah suatu tanda yang bahaya kepada negara kita.

Di saat Mahasiswa kita lemah jatidiri dan keimanan, muncul pula serangan dan ancaman dari segi akidah seperti Syiah, fahaman Liberal yang bertopengkan hak asasi manusia dan sekular yang menjalar halus dalam dunia kampus kita. tersusunnya gerakan yang mengancam ini sudah tentu merupakan antara strategi pihak tertentu dalam melemahkan islam dikalangan generasi mahasiswa kita.

Resolusi HIMMAH 2.0 oleh Pembina saya kira adalah sesuatu resolusi yang perlu diambil berat oleh semua gerakan Mahasiswa. kita harus bergerak menyusun strategi membantu pihak Universiti dan negara dalam membina kembali jatidiri Mahasiswa agar menjadi muslim yang memahami ajaran islam berdasarkan akidah Ahli sunnah wal jamaah. Jika kita mampu beramal bersungguh dalam membina kembali kefahaman mahasiswa terhadap islam dan seterusnya membangunkan mereka daripada lamunan tidur, saya kira potensi besar mereka pasti dapat dimanfaatkan untuk perjuangan membina bakal kepimpinan masa hadapan negara kita yang lebih berwibawa.

kita mencari dimana Sultan Muhammad Al-Fateh, Tariq bin Ziyad,  Hasan Al-Bana dan tokoh-tokoh yang lain. Saya kira Pengisian Dalam Himmah yang mahu kita mencontohi tokoh-tokoh hebat islam adalah tepat. Kita harus melihat kembali bagaimana lahirnya pemimpin-pemimpin hebat zaman kegemilangan islam. Mereka membina sifat-sifat pemimpin bermula dengan tarbiyah dalam diri. Mereka mampu mempengaruhi gerakan dakwah ketika itu kerana kefahaman mereka, hidup penuh visi dan misi, hubungan yang kuat dengan Allah swt. Mereka menjaga solat malam, solat subuh dan solat berjemaah, mereka membaca Al-quran, solat sunat, dzikir, berpuasa sunat, luas ilmu pengetahuan, kuat fizikal dan berbagai-bagai lagi ciri dan sifat yang mereka miliki.
Justeru itu, saya berharap Pembina dapat membina semua ahlinya memahami ajaran islam yang syumul, membawa satu arus baru islamisasi ke dalam dunia kampus mengalahkan jahiliyah. Hadir dalam bentuk yang mempesona dan penuh maruah. Biar semua orang tahu bahawa lahirnya generasi baru yang dinantikan telah tiba.

Sekian. Terima kasih

No comments: