August 14, 2012

Merebut Lailatul Qadar di 10 malam terakhir

“Di malam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran). Pernah di malam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. 
(Foto pertama bumi dari angkasa lepas oleh Yuri Gagarin 1969).
 
Ramadan 1433H/2012M semakin berakhir. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra.

Firman Allah swt bermaksud, “Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr? Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).

Di antara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan semasa Qiyamullail di malamnya dan Iktikaf di siangnya ialah puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan dakwah dan sebagainya.
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :
  1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama di segi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalendar harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.
  2. Memahami bahawa setinggi mana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran). Tiang kepada agama ialah solat.
  3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.
  4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
  5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenal pasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba beriktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu.
  6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.
  7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 malam terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli-belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
  8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 malam terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Ameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Pengerusi Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku