June 5, 2012

MSIB solusi kemelut bangsa Melayu

MSIB solusi kemelut bangsa Melayu


Perjuangan dan fikrah ISMA ialah Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dalam bentuknya yang mudah. ISMA tidak menambah atau mengurangkan Islam itu dengan ideologi lain. Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. melalui penurunan wahyu, disampaikan kepada para sahabat dan seterusnya sampai kepada generasi hari ini. Itulah Islam yang merupakan fikrah ISMA.
Hari ini sesetengah pihak cenderung untuk mencampur-baurkan fikrah Islam dengan ideologi lain dan menyebabkan masyarakat umum menjadi keliru. Ini mungkin berlaku kerana tekanan dan perkembangan dalam ideologi lain.

Berasaskan fikrah Islam yang mudah ini, kita menetapkan pendirian terhadap badan-badan lain, isu-isu dan sesuatu perkara yang berlaku di sekitar kita pada masa ini. Apa sahaja cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini kita lihat daripada aspek Islam yang asli. Ini termasuklah persoalan mengenai slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Agenda utama ISMA ialah untuk membina, membangun dan mempertahankan keperibadian dan jati diri orang Islam dalam kalangan bangsa Melayu di rantau ini, khususnya di Malaysia. Mereka dibentuk sehingga menjadi bangsa yang memperjuangkan dan membela Islam dan menjadi kepimpinan Islam pada masa akan datang.

Secara sejarahnya, darah orang Melayu telah bercampur dengan Islam, rohnya dengan roh Islam. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa orang Melayu ini telah menjadi sebahagian daripada umat Islam walaupun mereka pernah mengalami sejarah penjajahan.

Agenda asing cuba untuk menghakis jati diri dan keperibadian Islam ini daripada orang Melayu sehingga mereka tidak mempunyai agenda dan pegangan. Bagaimanapun kita masih menganggap bahawa segala kekuatan (muqawimat) Islam itu masih wujud pada diri orang Melayu sebagai satu umat dan bangsa yang berdiri tegak atas asas rukun agama.

Masyarakat Melayu khususnya di Malaysia merupakan orang Islam yang majoriti. Mereka berhadapan dengan berbagai ancaman termasuk agenda asing dari dalam dan luar negara. Jadi di sana terdapat percaturan ancaman di peringkat negara dan antarabangsa.
Persoalannya, bagaimana orang Melayu dan masyarakat Islam boleh keluar dari kemelut ancaman ini? Inilah jawapan kita. 

Kita lancarkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat. 

Membawa kembali orang Melayu kepada Islam dengan kita kukuhkan semula keperibadian Melayu kepada jati diri keislaman. Mereka bersatu padu menjadi umat yang mempunyai risalah dan agenda. Dengan ini mereka dapat keluar dengan selamat dari situasi yang mereka hadapi sekarang.
Petikan dari buku 30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat [ Abdullah Zaik Abd Rahman, Presiden ISMA ]


sesiapa berminat menjadi ahli isma...sila email saya: mambi86@gmail.com atau terus isi borang dalam website ismaweb.net

link borang daftar ahli isma : http://ismaweb.net/ahli/index.php?mod=authentication&opt=login
sumber: http://kompas2012.net/

No comments: