January 5, 2012

Nyamuk dan Demam Denggi


Sahabatku, bersabarlah atas apa sahaja ujian dan kesusahan yang menimpa anda dalam kehidupan ini. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih dan penyayang. Yakinlah bahawa Allah beserta orang beriman yang bersabar.

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu[99], sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (2:153)



Sejak saya pulang ke Kl baru-baru ini. Berbagai-bagai ujian saya lalui sepertimana anda juga melaluinya. Terbaru kami sekeluarga diuji oleh Allah dengan 2 abang saya telah dimasukkan ke hospital Kl kerana demam denggi. Menurut jururawat HKL, bulan ini merupakan musim demam dan banyak orang kena denggi. Oleh itu, kalau kena demam, segeralah ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum terlambat.

Sungguh hebat makhluk ciptaan Allah yang bernama nyamuk ini. Kecil-kecil cili api rupanya. Badannya yang kecil, tetapi berani dan mampu menumbangkan manusia yang berkali ganda besarnya dan kuat daripada dia. Sejarah silam juga ada menukilkan kisah Raja Zamrud yang kaya dan sombong telah mati hanya disebabkan seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya melalui ruang telinga. Begitulah nyamuk sehingga kini masih kekal dengan keturunannya yang berbagai jenis seperti manusia juga. Istimewanya ciptaan Nyamuk ini sehingga Allah menyebut namanya dalam Al-quran supaya manusia berfikir, seperti yang tercatat di dalam surah Al-baqarah ayat 26

“Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik, “

Apabila saya berfikir lebih mendalam, ada juga kebaikan nyamuk ini. Agak-agaknya apa jasa nyamuk kepada manusia selain daripada menyusahkan dan membahayakan kita? Pernah dengar nama produk Shieldtox, Ridsect dan ubat nyamuk jenama gajah? Semua produk ini adalah hasil keluaran syarikat-syarikat ubat pembunuh dan penghalau nyamuk. Dengan adanya syarikat-syarikat ini, mereka telah menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada manusia dan menjadi sumber rezeki yang halal bagi manusia. Begitulah dunia perniagaan, mereka akan sentiasa memberi jawapan kepada permasalahan manusia. Agaknya itulah antara kebaikan nyamuk. Tetapi denggi juga adalah disebabkan kelalaian manusia yang terleka dalam menjaga kebersihan. Terutama selepas musim hujan baru-baru ini. Semua ini menginsafkan saya sekeluarga. Kami redha dan terima ujian Allah ini dengan tabah. 

Saya kagum dengan mak, beliau masih kuat pada usia 58 tahun membawa abang ke hospital. Rupa-rupanya  Hospital Kl, terdapat jabatan khas untuk penyakit demam sahaja. Seseorang pesakit yang demam kena datang awal untuk mendaftar dan mengambil nombor. Beratur dan menunggu boleh mengambil masa berjam-jam. Jadi kalau nak cepat, kami terpaksa datang awal. Alhamdulillah kehadiran saya di KL, dapat juga membantu mak. Habis semua kerja saya tinggalkan demi membantu ibu dan abang yang sakit. Saya melihat inilah masa terbaik untuk mentarbiyah dan merapatkan ukhwah dengan abang dan ahli keluarga yang lain. Setelah 6 tahun saya belajar di Sarawak, saya berjauhan dengan ahli keluarga membuatkan kami jarang dapat bertemu dan bergurau senda. Alhamdulillah, kini saya dapat meluangkan sedikit masa bersama. 

“Mak, kenapa la Allah uji kita bermcam-macam ujian pada bulan ini ya? “ keluh saya pada mak di hospital. Mak yang sedang duduk memerhatikan abang yang terlantar di hospital lalu perlahan-lahan memandang saya dan berkata. “ Sabarlah nak, apabila diuji oleh Allah dengan kesusahan dan kesakitan, ingatlah orang yang lebih susah dan lebih berat ujiannya. Pandanglah orang yang berada di bawah kita, nescaya kita akan lebih bersyukur.’ Jawapan mak itu benar-benar menenangkan jiwa dan perasaan saya. Membuatkan saya lebih berasa bersyukur dan sabar. Lantas saya melihat pada sudut lain di dalam wad hospital itu, saya melihat ramai pesakit sedang terlantar dengan berbagai-bagai jenis penyakit. Alhamdulillah, saya mendapat sebuah pelajaran tarbiyah daripada Allah hari ini. Semoga anda juga mendapat ibrah daripada post saya kali ini.

No comments: