Nak cari duit lebih dari rumah?

Followers

Popular Posts

August 30, 2011

Salam Aidilfitri 1432H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Aidil Fitri buat semua sahabat para pemuda islam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Begitulah Alunan takbir dan tahmid meraikan kemenangan kita sebulan mengharungi susah payah dan mujahadah memdidik jiwa dan nafsu tunduk kepada perintah Allah swt. Disamping itu juga ia mengenangkan kita kepada sejarah keagungan dan kemegahan Islam, apabila umat Islam berkuasa dan berjaya menundukkan tentera ahzab, satu titik permulaan kepada siri pembukaan Islam sehingga Islam berjaya mengusai dua pertiga dunia. Syukur tidak terhingga kepada Allah swt yang telah memberi kita kesempatan mengharungi sebulan Ramadhan kali ini dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Allah Maha Besar, tiada yang boleh mengalahkanNya, Dia yang telah memenangkan tentera Islam dan segala pujian bagi Allah SWT. Allah telah menunaikan janjiNya dan mengalahkan tentera bersekutu. Dialah Allah yang Maha Esa.

Sahabat-sahabat sekalian,

Menurut Ust. Abdullah Zaik, rangkap-rangkap takbir dan tahmid ini menjadi syiar yang dialunkan setiap tahun untuk memastikan jiwa mukmin sentiasa merasa izzah (bangga) dengan Islam, hidup dengan kebanggaan dan kemenangan. Sentiasa berada dalam kecemburuan yang tinggi terhadap maruah dan kemuliaan agama.

Walaupun dari segi politik, pendidikan, ekonomi, teknologi dan ketenteraan, umat Islam telah kalah kepada barat, jiwa mereka tidak sepatutnya merasa kalah. Jiwa keperwiraan untuk menuntut kemuliaan dan ketinggian harus terus membara selama takbir dan tahmid raya berkumandang dan ayat-ayat jihad dihayati.

Sebagai golongan belia, yang merupakan generasi harapan ummat islam, mari kita terus istiqamah dalam meneruskan momentum tarbiyah ramadhan agar segala amal terus istiqamah buat sepanjang tahun mendatang. Sesungguhnya perjuangan dan ujian sebenar telah bermula apabila hadirnya bulan syawal ini. Meskipun realiti di negara kita kini cabaran begitu berat buat para belia dengan pertembungan antara fahaman islam dengan sekular, liberal, humanisme dan globalisasi. Seharusnya kita yang sedar dan insaf ini terus kuat dan tabah dalam membantu diri dan sahabat yang lain dalam mendekatkan diri kepada Allah dan pada masa yang sama cemerlang di dalam apa jua bidang ilmu yang diceburi dengan berpandukan Al-Quran dan sunnah Nabi saw. 

Hakikat kehidupan seorang beriman pasti akan diuji untuk dinilai oleh Allah swt tahap keimanannya, maka bersedialah kita wahai para belia islam dengan ujian demi ujian yang akan datang dalam kehidupan kita selepas Ramadhan ini sebagaimana yang Allah swt firmankan dalam Al-Quran;

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (29:2-3).

Para belia sekalian,
Seterusnya, mari kita terus berbangga dengan kemuliaan kita sebagai seorang pemuda muslim. Kerana hanya dengan kemuliaan ini sahaja kita mampu melangkah untuk kembali bangkit menegakkan islam dalam diri kita, masyarakat dan negara. 

Tarbiyyah bukan segalanya, tapi segalanya bermula dengan tarbiyah

Buat mereka yang telah mengikuti tarbiyah melalui usrah/ halaqah. Percayalah bahawa sebagaimana saya telah dan sedang melaluinya ; Inilah sarana terbaik di dalam membentuk diri kita menjadi seorang muslim dan dai. Inilah kaedah terbaik membantu diri kita membuat perubahan untuk berhijrah dan meninggalkan kehinaan jahiliyah menuju islam sepenuhnya. Hanya dengan tarbiyah, mampu melahirkan seorang muslim yang abid dan haraki. Inilah kaedah yang telah dipraktikkan oleh nabi saw dalam mentarbiyyah para sahabat. Membentuk generasi awal yang kuat iman dan bersungguh-sungguh dalam menyebarkan tarbiyyah kepada orang lain.Semoga kita terus istiqamah dalam tarbiyyah dan dakwah ini.

 "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (3:139) 

Sahabat-sahabat sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat Malaysia dan warga Pembina Sarawak, seterusnya muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT. Semoga ibadah puasa kita pada tahun ini diterima oleh Allah SWT dan kita tergolong di kalangan mereka yang terlepas daripada azab api neraka.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Salam Mahabbah, Salam Ukhuwwah.
Sekian.

 "Bersama Belia Membangun Jatidiri"














Muhammad Abdul Mun'aim Mohd Idrus
Pengerusi
Persatuan Belia Islam Nasional Sarawak