May 7, 2011

Berhenti sekejap!

Sahabatku, mari renungkan bersama;

Pernahkah anda menyaksikan perlumbaan F1? Kereta yang hebat dengan teknologi tinggi automotif itu dengan kepantasan yang mencecah 300km/j bahkan lebih..pada satu-satu ketika ia harus berhenti di Pit Stop..mengapa ya?..Ya kerana ia harus mengisi minyaknya, menukar tayarnya yang haus dll. baru ia dapat meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan akhirnya. 
Maka begitulah juga dengan jiwa kita wahai diriku dan sahabatku sekalian. Manusia itu hebat, kerana merekalah yang menggunakan akalnya mencipta kereta F1 itu.  Tetapi hakikat hebat itu ada batasnya yang mesti ia tunduk akan kehebatan pencipta-Nya. Agar ia tidak tenggelam dalam maksiat dan kesombongan kerana gahnya.



Memetik kata-kata seorang ulama, di dalam kitab al-Hikam, Ibnu Atoillah berkata:

"Punca segala maksiat , syahwat dan kelalaian ialah berpuas hati terhadap diri sendiri. Punca segala ketaatan, kesedaran  dan kesucian ialah perasaan tidak puas hati terhadap diri. Lebih baik kamu berkawan dengan orang jahil yang tidak berpuas hati dengan dirinya, berbanding orang alim yang berpuas hati dengan dirinya". (tarbiyahtuna Ruhiyah).

Semua itu akan didapati apabila jiwa-jiwa itu memuhasabah diri. Agar ia tidak lupa akan hakikat tujuan hidup dan janji suci ia dengan Sang Pencipta.

kata Al-Muhasibi. Antara cara muhasabah ialah bersendirian dengan dirimu dan menghitung amalannya. katakanlah: Wahai diriku, kamu tidak mampu menipu Allah taala. Maka janganlah kamu tertipu dengan tipu daya syaitan..janganlah kamu mengikut hawa nafsu, nescaya kamu akan jatuh dan musnah"  (Adab Nufus)



Dalam perjalanan mengejar mimpi-mimpi hebat, ketika merasakan dunia ini kitalah yang punya. Berhentilah sejenak. Barangkali kita terlalu sibuk dengan urusan dunia, dikhuatiri banyak urusan akhirat tertunda. Ketika jiwa itu merasa segala amalannya seakan memuaskan, maka disaat itulah bahaya menanti. Ketika merasa dirinya hebat, lalu lupa istighfar hampir ia tenggelam. Maka perlulah ia hisab dirinya.


 Renungkan lagi,

Kata Ibnu Atoillah lagi: " Sebaik-baik ketaatan ialah muraqabah Allah pada sepanjang waktu". 

Abu Hafs pula ada bermadah : " Apabila kamu duduk bersama orang lain, maka perhatikanlah dirimu. Sesungguhnya mereka melihat zahirmu, tetapi Allah melihat batinmu".

Sahabatku,
Saya bukan yang terbaik, tetapi mengajak kalian semua kembali kita muhasabah amalan kita. kerana kita manusia. Manusia itu adalah pelupa. maka perlu ia sentiasa diingatkan agar menghisab dirinya, sebelum ia dihisab oleh Allah swt.

Jiwa yang hebat itu, adalah jiwa yang dimuliakan dan diangkat darjatnya oleh Allah swt  kerana keimanannya dan dicintai manusia kerana akhlak dan manfaatnya. Begitu juga sebaliknya.

Semoga bermanfaat buat sesiapa sahaja yang membaca...

oleh : mun'aim idrus

Rujukan : Bab mujahadah, Modul Pembangunan Insan, Ikatan Muslimin Malaysia