Nak cari duit lebih dari rumah?

Followers

Popular Posts

December 7, 2010

Salam Maal Hijrah: Muhajirin dan Ansar ? Apakah jasa mereka?


 1432 Hijrah/2010

Selamat menyambut tahun baru kepada semua ummat Islam, terutama anda yang sudi melayari blog saya ini. 
Pada artikel kali ini mari kita mengenali 2 golongan yang telah membantu Nabi saw dalam menyebarkan agama islam sehingga sampai kepada kita hari ini. 

Mereka adalah Muhajirin dan Ansar

"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar." (9:100)

Apakah peranan dan jasa yang telah dimainkan oleh orang-orang Muhajirin dan Ansar dalam menyebarkan dan mempertahankan agama Islam pada zaman Nabi sehingga Allah memuliakan mereka dengan mengabadikan nama mereka dalam Al-quran sepanjang zaman?

Pendahuluan :

    * Umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad di Madinah terdiri daripada 2 golongan iaitu golongan Muhajirin dan golongan Ansar. Merekalah yang sentiasa menyokong perjuangan Nabi dan membantu baginda untuk mempertahankan dan mengembangkan ajaran Islam sepanjang zaman baginda.

  1. Golongan Muhajirin atau penghijrah adalah kaum Quraisy yang memeluk Islam dan mengikut Nabi berhijrah dari Mekah ke Madinah. Golongan Muhajirin merupakan golongan awal memeluk Islam dan mereka layak menjadi pemimpin kerana telah sanggup berkorban demi Nabi dan Islam .

"(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah[1466] yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (karena) mencari karunia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar. "(59:8)

[1466]. Maksudnya: kerabat Nabi, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil yang kesemuanya orang fakir dan berhijrah.
  1.  golongan Ansar atau pembantu terdiri daripada Suku Aus dan Khazraj.
"Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung" (59:9)

   
Peranan Golongan Muhajirin :

Peranan mereka di Mekah :
  •      Semasa berada di Mekah merekalah golongan umat Islam yang mempertahankan keutuhan agama Islam yang baru disampaikan oleh Nabi melalui kekuatan iman. Merekalah yang mula-mula melafazkan kesetiaan terhadap Islam dan bersama-sama berjuang dengan Nabi Muhammad.
  •       Mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan penentangan oleh kaum Musyrikin Mekah keimanan mereka sukar digugat dan tetap tabah bagi memastikan Islam terus berkembang contohnya keluarga Ammar b Yassir dan Bilal b Rabah. Mereka banyak menyumbang harta benda dalam membantu perjuangan Nabi seperti sahabat-sahabat Nabi yang kaya contohnya Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dimana mereka banyak membeli hamba-hamba Islam yang diseksa supaya dapat dibebaskan. Arqam sanggup menyediakan rumahnya sebagai markas dakwah.
  •     Sahabat-sahabat Nabi turut membantu mengembangkan Islam secara sembunyi dan terbuka sepanjang zaman makkiah.
  •     Mereka menyeru kepada kaum keluarga, sahabat handai dan penduduk Mekah yang lain kearah agama yang benar.
  •      Pada peringkat awal seruan Islam Abu Bakar berjaya mengislamkan Abdul Rahman, Uthman, Talhah, Zubair, Saad Abi Waqas, Abu Ubaidah dan Arqam b Abi Arqam.
  •     Mereka sanggup meninggalkan Mekah dan segala kekayaan yang dimiliki semata-mata mengikut Nabi berhijrah ke Madinah. Ini ternyata satu pengorbanan yang amat besar keatas nilai keamanan umat Islam di Mekah.

Peranan mereka di Madinah :
  •  Setelah berhijrah ke Madinah golongan Muhajirin telah membekalkan sebahagian besar daripada tokoh-tokoh pahlawan terbilang yang menjadi tunggak kekuatan tentera Islam dalam menghadapi serangan musuh. Tokoh-tokoh tersebut seperti Umar al Khattab, Hamzah b Abdul Muttalib, Ali b Abi Talib dan lain-lain.
  •     Golongan ini merupakan pembantu Nabi dalam usaha baginda memimpin umat Islam Madinah dalam soal-soal keagamaan dan pemerintahan contohnya selepas peristiwa Aqabah Nabi mengutus Mus’ab b Umair untuk membantu penduduk Madinah untuk mendalami Islam.

Peranan Golongan Ansar

Peranan mereka di Mekah :

  •     Hanya terhad dalam peristiwa Aqabah 1 dan 2. Mereka sanggup menerima Islam dalam keadaan dimana orang-orang Mekah menentangnya dengan hebat. Mereka berikrar untuk berjuang bersama-sama Nabi dan mengajak Nabi meninggalkan Kota Mekah yang penuh penentangan untuk menuju Madinah.
  •      Mereka sanggup mengangkat baginda menjadi pemimpin mereka di Madinah kelak. Sesungguhnya ikrar Aqabah 1 dan 2 merintis jalan kepada peristiwa Hijrah yang amat bersejarah.

Peranan mereka di Madinah :
  •     Mereka sanggup menerima dan membantu golongan Muhajirin yang datang ke Madinah dari Mekah dalam keadaan sehelai sepinggang sahaja. Mereka menyumbang pelbagai bantuan sosioekonomi seperti menyediakan tempat tinggal, makanan, keselamatan, modal untuk berniaga malah ada yang sanggup menceraikan isterinya untuk golongan Muhajirin ini.
  •    Sebagai penduduk tempatan mereka turut menyumbangkan harta benda dan buah fikiran dalam menjayakan perjuangan dan perkembangan Islam terutama semasa menghadapi peperangan contohnya Salman b al Farisi.
  •     Golongan Ansar juga menyumbangkan banyak harta benda dalam menghadapi serangan musuh Islam dalam perang Badar, Uhud dan Khandak.
  •     Golongan Ansar juga bertanggungjawab membawa masuk dan menyebarkan Islam di Madinah. Proses ini bermula selepas peristiwa ikrar Aqabah 1 dan 2.
  •     Nabi Muhammad telah melantik para nuqabak ( 9 Khazraj dan 3 Aus ) untuk membimbing umat Islam di Madinah bagi membantu menyebarkan agama Islam dengan lebih meluas di Madinah.

Kesimpulan

Mereka adalah generasi awal dakwah yang kita warisi hari ini. Kita harus berterima kasih diatas pengorbanan mereka dalam memperjuangkan agama islam sehingga semua harta dan jiwa mereka korbankan demi Allah dan rasul. 

Al-quran ,mengajarkan bagaimana sikap kita terhadap mereka sebagai generasi kemudian.  Iaitu dalam surah Al-hasyr,59:10.

"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."
 


Rujukan:
  • Al-Qur'an
  • http://fastnote.wordpress.com/peranan-muhajirin-dan-ansar/
  • Ust. Mohd Nazri Mohd Nor
Sekian . Terima kasih.

Oleh: Mun'aim Idrus@mambi86


No comments: