July 30, 2010

Jaulah Aman Palestin ke Sri Aman (Sarawak) siri-2

  
JAULAH AMAN PALESTIN SARAWAK KUCHING - SRI AMAN SIRI 2

Alhamdulillah dengan izin Allah s.w.t yang Maha kuasa, Jaulah Aman Palestin (AP) ke Sri Aman siri-2 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Jaulah kali kedua ini telah diketuai oleh Perunding Aman Palestin Sarawak, Ust. M.Nazri Mohd Nor dan disertai para sukarelawan AP seramai 11 orang daripada UNIMAS, UITM  dan Asasi UNIMAS. Rombongan ini memulakan perjalanan daripada Kuching ke Sri Aman  selama hampir 4 jam. Di Sri Aman, ceramah AP telah diadakan di Masjid Sri Aman dan MRSM Betong. Selain aktiviti ceramah, gerai pameran dan jualan buku dan cenderamata AP turut diadakan sebagai aktiviti sokongan. Alhamdulillah, aktiviti ceramah dan gerai jualan dan pameran telah mendapat sokongan dan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat islam Sri Aman. Di MRSM Betong, selain ceramah AP, para sukarelawan yang terdiri daripada warga IPT turut mengambil kesempatan mengadakan slot motivasi pelajar dan berkongsi kisah kejayaan mereka di Menara Gading. Slot motivasi tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para-pelajar. Ditambah pula salah seorang sukarelawan AP yang terlibat merupakan anak jati daerah Betong. Secara tidak rasmi, kutipan tabung AP yang didermakan oleh masyarakat Sri Aman ialah sebanyak RM2000 (+-). Segala resit dan bukti penerimaan telah diresitkan dan diserahkan kepada pihak-pihak yang menderma oleh AP untuk memastikan sumbangan derma sampai ke tabung pusat AP. Syukur kepada Allah s.w.t rombongan AP selamat pulang ke Kuching dengan selamat dan semoga Jaulah siri-3 akan dapat dilaksankan lagi pada masa akan datang.

GAMBAR KENANGAN BUAT TATAPAN SEMUA





AKHIR KATA
Semoga kita ikhlas dalam melakukan semua kerja-kerja kebajikan ini. Ya Allah, terimalah amal-amal kami  yang tidak seberapa ini dan jauhilah kami daripada sifat riya' dan sombong. Semoga segala sumbangan yang berjaya diterima akan dapat disalurkan kepada saudara kita di Palestin tercinta. Amin...

Sekian. Terima kasih.

yang benar,
mambi86@blogspot/2010
AJK Biro Belia
ISMA Sarawak

July 27, 2010

Berhenti sejenak : Muhasabah cinta

Ujian slalunya datang untuk menguatkan kita



Hari-hari yang kita lalui di jalan dakwah ini penuh dengan ranjau-ranjau kesusahan dan kesakitan. Jalan yang panjang ini selalu kita terasa hanya baru bermula. Dalam kesibukan kita dalam kegiatan dakwah sekali-sekala memerlukan kita untuk muhasabah cinta dalam diri kita. Bahkan para ulama dahulu telah pun menulis banyak bab dalam buku karangan mereka mengenai muhasabah. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat tentang cinta, dan salah satunya ialah dalam surah At-Taubah , ayat 24 ;

Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya,  dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.  [9:24]

Muhasabah Cinta
Album : Munsyid : EdCoustic (http://liriknasyid.com


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu


Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu


Bukti cinta kepada Allah s.w.t,

 Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [3:31]

Justeru, sebagai bukti cinta kita kepada Allah s.w.t, marilah kita terus istiqamah di jalan dakwah ini. Bangkit daripada tidur menjadi sosok pemuda yang bergerak di dalam masyarakat membawa risalah dakwah.




Akh Aizam: Generasi awal menghidupkan dakwah di Sarawak dalam sejarah kita



dan apabila seorang ikhwah yang punya banyak jasa dan pengorbanan dalam dakwah ditimpa kemalangan, sakit dan terlantar dihospital. Mari kita buktikan cinta kita sepenuh jiwa. Allahuakbar! Kuatkan jiwa-jiwa kami dan satukan jiwa-jiwa kami. Kaki beliau yang sakit kini sebenarnya telah melangkah sehingga ke Miri dalam usaha menghidupkan dakwah. Subhanallah! Semoga Allah s.w.t menyembuhkan kaki beliau semula atas jasanya yang sekian banyak terhadap agama ini dahulu. Amin.

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. " [2:153]


sekian terima kasih.

mambi86   27/7/2010




July 23, 2010

Ujian itu menguatkan kita


Dalam menapaki jalan dakwah ini.


Ada dua nikmat yang Allah SWT telah anugerahkan kepada kita. Itulah nikmat iman dan persaudaraan. Keimanan seorang pemuda yang dibina dengan manhaj al-quran dan sunnah nabi akan menghasilkan seorang pemuda yang bergerak dalam masyarakat. Ketika dahulunya dia di zaman jahiliyah tidak mengerti apa-apa. Kemudian Allah SWT telah menghidupkan iman dalam dirinya. Maka satu persatu kita melihat di sepanjang jalan tarbiyah ini betapa ramai pemuda telah lahir semula menjadi ruh baru dalam masyarakat.Menjadi agen perubahan yang bersemangat. 

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia,
 serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah
mereka kerjakan. " [6:122]

Telah di kisahkan dalam Al-Quran tentang sekumpulan pemuda yang punya iman dan kesedaran. Mereka punya visi dan matlamat yang sama, lalu bersatu atas fikrah yang sama lantas bergerak untuk merealisasikan dan membuktikan keimanan mereka. Lalu Allah SWT menunjuki jalan yang seharusnya mereka lalui dengan keteguhan iman mereka.

"Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka  petunjuk." [18:13]

Betapa  pemuda itu telah menerima sentuhan tarbiyah, maka mereka pun mahu orang lain merasa nikmat yang mereka perolehi. Mereka memahami bahawa tujuan hidup ini jelas untuk mencari redha Allah.  Maka, harta yang dikumpulkan adalah untuk disisihkan sebahagiannya di jalan dakwah. Pangkat dan gelaran bukan untuk dimegahkan, sebaliknya untuk meningkatkan citra dakwah dan menarik mad'u. yang paling menarik, mereka seperti satu tubuh. Susah dan senang sama-sama dipikul dan di rasa. Mereka saling mencintai kerana Allah. Meskipun dipisahkan jarak beribu kilometer, namun iman yang ada tidak pernah  menjarakkan mereka.

Setiap fasa dalam dakwah kita ini,

pastinya Allah SWT akan sentiasa menguji sesuai dengan tahap iman dan kekuatan kita. Bahkan selalunya ujian Allah SWT itu adalah untuk mendidik kita dan menguatkan  saff kita dengan berbagai-bagai hikmah yang tersembunyi. Percayalah ujian itu ada dalam berbagai-bagai bentuk dan ketegorinya. Sebagaimana yang telah difirmankan dalam Al-Quran,

"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." [2:155]

Sedangkan nabi Muhammad SAW dan para sahabat diuji, manakan mungkin kita tidak diuji. Benar bukan? Dengan adanya ujian itu, barulah kita dapat menilai dimanakah sebenarnya tahap kekuatan iman dan ukhwah kita. Orang yang sabar dan ikhlas pasti akan mampu bertahan dalam dakwah ini.

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan  kesengsaraan, serta digoncangkan  (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"
Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." [2:214]

 "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,  maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Dan setelah ujian itu, akan ada berita gembira kepada kita. Berita kemenangan dan kenikmatan di alam yang kekal selamanya. Percayalah.

justeru itu, Ayuh!! Bangkitlah untuk menjadi orang yang hebat!

Sekian. Terima kasih.

hakcipta terpelihara@mambi86 /2010


July 19, 2010

Bumi cinta : Hari-hari terindah

Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah yang telah memberi kita banyak nikmat dalam kehidupan ini. Roda kehidupan yang berputar membawa kita merasai segala rempah kehidupan, dan kini hari-hariku di Bumi cinta seakan mahu berakhir. Selama seminggu pulang ke KL, banyak kenangan indah terukir dalam nota kehidupan  Paling seronok apabila dapat bertemu dengan ikhwah dan akhwat sewaktu program DAPES kelmarin. 

DAPES KE-5
Alhamdulillah, program yang telah dirancang berjalan dengan lancar dengan kehadiran peserta lebih kurang dalam 90 orang. InsyaAllah semua mereka adalah merupakan ahli MT di semua IPT yang akan membawa risalah dakwah ke sana. Ana berharap agar semua ikhwah dan akhwat mendapat banyak manfaat daripada program ini. Pertama kali menjadi pengarah dalam program penting Thullab IPT ini benar-benar menguji tahap kemahiran leadership. Apatahlagi pada awalnya kami terpaksa berhubung hanya melalui telefon dan email sahaja sebab ana berada di sarawak ketika awal2 merencana program ini. Syukur alhamdulillah, ana dibantu oleh AJK dikalangan ikhwah dan akhwat yang sangat komitmen dan cekap dalam menjalankan tugas. Dapes kali ke-5 ini diadakan bertujuan untuk memberi pelatihan menjadi ahli syura berkesan serta melatih teknik-teknik dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ia diadakan dengan kerjasama Thullab IPT dengan ISMA dan Pembina. Para peserta terdiri dari kalangan pelajar IPTA dan IPTS seluruh Malaysia kecuali sabah.

dibawah ini ada beberapa gambar yang sempat di ambil semasa program dapes sebagai kenang-kenangan.

 Ceramah/bengkel daripada penceramah jemputan Akh Muadz (Pembina dan ISMA DHL)

 Bengkel pelatihan setiausaha
 Bengkel pelatihan HRM/pendataan
 Ceramah daripada Penceramah jemputan Dr.Kamsani (ISMA KL)

 Bengkel pelatihan mas'ul/mas'ulah oleh Akh Izzul


Semoga program ini dapat kita jalankan lagi pada masa-masa akan datang. Teringat semasa zaman awal-awal ketika Dapes pertama diadakan. Ketika itu bersama-sama pengarah Dapes yang pertama akh suhaimi yang telah banyak memberi ana tunjuk ajar dalam menguruskan program-program dakwah.

Ujian : akh aizam kemalangan


kelmarin mendapat perkhabaran akh Aizam kemalangan di Kuching sarawak. Menurut ikhwah, akh aizam mengalami patah tulang di bahagian atas pinggang, tempat yang sama beliau alami sebelum ini. Kepada ikhwah/akhwat yang ingin menghubungi beliau boleh 

call di No ini aizam  :  013-825 4023   dan no zaujahnya  ukhti hasni 013- 8254 567

akh aizam merupakan antara ikhwah generasi pertama yang dihantar untuk menghidupkan dakwah dan tarbiyah di sarawak. Boleh ana katakan beliau telah berjaya membantu menghidupkan dakwah di Bumi sarawak. Pengorbanan beliau cukup banyak untuk ana ungkapkan di sini. Seorang yang sabar dan sangat komitmen dengan setiap tugasan dakwah yang dipikul meskipun beliau terpaksa membahagikan masa untuk belajar, mencari nafkah keluarga dan dakwah. Semoga beliau tabah menghadapi ujian Allah ini.  sekiranya ingin menghulurkan bantuan dari segi kewangan dll amatlah ana  galakkan. Antum boleh berhubung dengan akh Hafidz untuk memberi sumbangan kepada akh aizam  di talian  013-807 3201.

akhir kata

Semoga kita dapat menjadi sebahagian daripada kebangkitan islam.

July 15, 2010

Bumi Cinta : hitam putih yang manis


Catatan di Kuala Lumpur

Perjalanan pertama

Hari-hariku di KL berlalu pantas di rasakan. Setiap detik begitu berharga rasanya. benarlah pepatah cina mengatakan 'Masa itu emas'. Seperti biasa, keadaan di waktu pagi di sekitar setapak jaya dan wangsa maju akan mulai sibuk dengan kehadiran kereta dan motor. Semua orang bergegas menuju ke tampat kerja dan ada juga budak-budak sekolah berjalan kaki menuju ke sekolah lamaku iaitu sekolah menengah kebangsaan Taman sri rampai (smktsr). sudah lama rasannya tidak ziarah ke sana. 

Antara planning  pulang ke KL juga untuk melihat sample research di STRIDE, kementerian pertahanan, di Kajang. sejujurnya memang tidak pernah ke sana dan terpaksa la pada malamnya merujuk kepada google maps. segala alamat dan peta laluan di catit detail di atas sehelai kertas lalu ku masukkan ke dalam poket. kemudian check dalam phone, ada no tel staff yang Dr. Sinin bagi hari itu. Ana call , staff tu nama dia Pie dan alhamdulillah kami buat temu janji esok (rabu pukul 10 am) jumpa di sana.  Nak mudah cerita, memang sesat. sampai ke hujung ampang, menemui sebuah kampung dan jalan mati. fuhh....tetapi yang ana suka bile sesat , pergantungan kita kepada Allah akan semakin tinggi. di wajahku terpancar warna-warna keletihan ketika itu. Maka lihat jam sudah pukul 10.30 am...aduh sudah lewat. ketika itu hanya satu tempat ana ingin pergi dahulu. ya..masjid...solat dhuha dahulu..(ketika ni teringat mesti ramai ikhwah juga tgh solat dhuha). Selesai solat  memohon petunjuk Allah swt agar dimudahkan jalan. Keadaan jalan di sekitar taman Melawati masih tetap sibuk ketika itu, deretan kenderaan kecil dan besar mengundang bahaya sesekali kepada penunggang motosikal seperti ku. Mujur dengan menggunakan motor Suzuki Smash ini, memang berbaloi kerana ringan dan mudah cilok di celah-celah kenderaan., Alhamdulillah. Meskipun sesekali hampir nak bergesel. Alhamdulillah akhirnya sampai tepat jam 12 pm. Terlewat sikit daripada waktu yang dijanjikan.

gambar1: Replika pesawat tempur di hadapan kementerian pertahanan (pusat penyelidikan tentera)

gambar2: sedang meneliti data dariapda DSC machine

Ziarah ikhwah

Setelah selesai kerja, terus mengunjungi MT di kajang. Bertemu dengan akh Nukman yang sedang menyiapkan printing bajunya. Wah...kagum ..macam kisah mas Azzam, tapi ikhwah ni x buat tempe..dia wat bisnes baju. Jadi sesiapa yang nak wat baju, bolehlah tempah. Harga yang ditawarkan pun berpatutan.

gambar 3: akh nukman sedang buat baju.

Kunjungan singkat di MT diteruskan dengan menuju ke UPM. Teringin dalam hati mengunjungi akhi Azrin dan Ikhwahx2 di sana. Perjalanan ke UPM daripada kajang tidaklah jauh. Melalui panduan daripada akh Nukman perjalanan kali ini lancar tanpa sesat jalan. Di sana penulis disambut akh Firdaus betul-betul dihadapan masjid UPM kami bertemu.Oh indahnya. Namun, ketika itu akh Azrin ada majlis angkat sumpah pelajar. jadi x dapat bertemu dia. Kami berbalas sms dengan janji bertemu dalam pukul 5.30 ptg kerana pukul 6 dia ada kelas. Alhamdulillah bertemu dengan ikhwah-ikhwah UPM bahagia rasanya.

 gambar4: Bersama ikhwah UPM

Tepat jam 5, disaat merasakan ingin benar menatap, bersalaman dan berbual panjang dengan akh Azrin hujan  lebat turun secara tiba-tiba. Kami ketika itu berada di tampat yang berbeza, disebabkan menaiki motor, jadi kekangan hujan lebat menghambat pertemuan yang dirancang.  Penulis harus pulang awal kerana ada program lain malam tersebut bersama keluarga. Begitulah ketentuan Allah swt, Kita merancang namun takdir mendahului kita. Pasrah sahaja tidak dapat bertemu dengan akh Azrin. Kami berjanji untuk bertemu pada hari lain. Sebelum pulang, Penulis tidak melepaskan peluang singgah sebentar di masjid UPM dan menunaikan solat tahiyatul masjid. Suatu kerugian yang besar seandainya hanya melintas tanpa singgah sebentar. Merasakan ketenangan di dalam sebuah masjid yang telah dikunjungi oleh ramai para ilmuan dan tokoh terkenal adalah suatu saat yang membahagiakan sesiapa sahaja. Suasana ketika itu tenang dan sunyi. Luas masjidnya mampu membuatkan sesiapa sahaja merasa aman damai dari kehidupan dunia luar. Langsung selepas itu, terus memecut motorsikal ku ke arah Pusat Bandar.


gambar5: pemandangan dalam masjid UPM

Ketika sampai di Pusat bandar KL, jam menunjukkan pukul 7.25 ptg. Maknanya maghrib lagi 5 minit. Kebetulan melalui masjid al-Bukhary yang indah, langsung memberi signal dan masuk. Masjid ini merupakan milik Tan Sri Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary, yang merupakan bumiputera terkaya di Malaysia. Pertama kali melangkah, oh rasa aman damai kembali setelah meredah perjalanan yang sibuk dengan deretan kereta, lori dan bas. Saat merasa sentuhan pertama air wudhuk, oh sedapnya...hilang rasa letih. skali lagi adab dengan masjid Rasulullah SAW suruh solat sunat tahiyatul masjid. Suasana dalam masjid indah dengan hiasan ukiran dan kubah berwarna putih. Sudah kelihatan beberapa jemaah sudah sedia menunggu dari berbagai lapisan masyarakat. Selesai solat maghrib beserta jama' taqdim  lantas memecut pulang.

Seperti biasa, tersesat pulak apabila sampai ditengah-tengah KL. Tahu-tahu sahaja sampai di Plaza Low Yatt. Alang-alang singgah sebentar. Keadaan di dalam plaza LOw Yatt sesak dan kehadiran ramai lapisan masyarakat. Suasana jahiliyah begitu terserlah dengan dengan gaya fesyen muda-mudi dan percampuran tanpa batasan. Memang tak boleh lama-lama, bahaya. Lantas setelah selesai survey harga-harga kamera dan HP terus pulang. Alhamdulillah sempat sampai rumah walaupun terlewat sedikit. 

akhir kata :  Ke mana pun kita pergi, jangan lupa untuk singgah di mana -mana masjid dan solat.

sekian. terima kasih. sekadar perkongsian .

yang benar : mambi

hakciptaterpelihara@mambi86.blogspot.com.

July 13, 2010

Bumi Cinta : Bosnia - Herzegovina


Catatan di Kuala Lumpur

11 julai yang indah di Bumi cinta

  Hari-hari ku di KL berjalan seiring dengan ketentuan Allah SWT. Dengan harapan dan doa agar segalanya berjalan lancar aku menikmati udara segar pagi Wangsa Maju dicelah-celah hutan batu. Sudah pasti suasana di sini berbeza sekali dengan Borneo yang dikelilingi oleh flora dan fauna yang indah, dengan sekali-sekala
dibelai lembut angin pagi...ahhh.. Segar dan bahagianya. Rencanaku untuk menguruskan beberapa urusan penting sentiasa aku updates. Dengan merujuk kepada jadual kelendar hidupku, pastinya setiap hari dan jam di sini amat berharga untuk dinikmati. Dakwah family, bisnes keluarga, ziarah sahabat, dan DAPES sentiasa dalam diari hidupku sekarang. 
  Kerinduan kepada negeri Sarawak juga selalu menjengah dalam hatiku. Ikhwah dan akhwat di sana pastinya sedang sibuk berdakwah dan mendaftar semester baru...Kelmarin, Walau sepanyol menang Piala Dunia, hakikatnya rakyat Malaysia hanya menang sorak dan tumpang gembira.Itu sahaja. Sampai kita pun tak boleh tidur, kerana kuatnya sorakan peminat bola sepak di dalam rumahku dan jiran-jiran semua. Semua restauran dan kafe-kafe di sini penuh dan meriah. Tetapi yang menyedihkan, ketika azan subuh berkemumandang, semua mereka pulang ke rumah menyahut seruan syaitan untuk tidur. Jadi siapa yang menang? syaitan terlaknat atau kita? Dalam kedinginan udara pagi kelmarin, Aku turun solat subuh di Surau Addiniah, hanya satu saff dan dijuarai oleh golongan-golongan tua yang hebat. Inilah realiti umat islam. 

firman Allah SWT,
"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi."[58:19]

Sebenarnya ada yang lebih penting untuk diingati dan dibaca kembali sebuah peristiwa sedih yang terjadi kepada umat islam.

11 JULAI 1995

BOSNIA-HERZEGOVINA    
 [ peristiwa hitam dalam sejarah umat islam]

Hampir 8,000 orang umat Islam di Bosnia-Herzegovina telah ditangkap dan dibunuh dengan kejam sewaktu kejatuhan Srebrenica 15 tahun yang lepas.


Berikut merupakan ringkasan senario tragedi umat Islam di Bosnia:

1- Islam telah masuk ke Eropah seawal zaman para Sahabat ra. Di zaman Uthman Affan, Islam telah mula menguatkan angkatan armada lautnya ke arah menguasai Laut Medditerranean, Laut Hitam dll. Kesemuanya melingkari benua Eropah.

2- Tahun 1543M, kota Constantinople, ibu benua Eropah Timur yang kebanyakannya bermazhab Kristian Ortodok jatuh ke tangan Khilafah Uthmaniah pimpinan  Sultan Muhammad Al-Fateh, lalu Islam tersebar masuk ke Eropah Timur dengan pesat termasuk Greece, Bulgaria, Australia, Serbia, Bosnia (1463), Herzegovina (1482) dll.

3- Tahun 1924M, Khilafah Islam runtuh. Kristian Eropah mula menguatkan kembali kedudukan mereka di Eropah, namun setelah ratusan tahun memimpin dan membimbing,  jutaan umat Eropah menganut agama Islam. Komuniti terbesar umat Islam dalam sebuah negara Eropah ialah di Bosnia-Herzegovina dengan penduduk mencapai 6-7 juta orang.  Ini berpotensi untuk membentuk sebuah Negara Islam berbanding umat Islam di negara-negara lain dalam Eropah.

4- Josip Broz Tito (dikenali sebagai Tito) memimpin kesatuan Yugoslavia (Serbia + Croatia + Bosnia Herzegovina + Montenegro) selama 35 tahun (1945-1980) dengan sistem
 Komunis, menghapuskan identiti agama dalam masyarakat. Akibatnya umat Islam hilang identiti, berkahwin campur tanpa mengenal agama, hidup dalam kejahilan dan maksiat.  Ibu negara Yugoslavia ialah Belgrade, di Serbia. Oleh itu pusat negara, ekonomi, kekuatan dan kelengkapan ketenteraan terletak di Serbia. Ketokohan Tito mampu menyatukan  negara-negara dalam Persekutuan Yugoslavia.

5- Kematian Tito pada tahun 1980 dan keruntuhan Komunisma pada 1991 di Soviet Union menyebabkan Yugoslavia di ambang perpecahan. Semua negara di dalamnya kecuali Serbia (Kristian Ortodoks) mahukan kemerdekaan. Serbia yang menganggap dirinya bekas negara Yugoslavia memberi amaran keras. Croatian (Kristian Roman) mengumumkan kemerdekaan lalu PBB menghantar Tentera Pengaman untuk mengelakkan peperangan antara Serbia/Belgrade dengan Croatia. Kemudian Bosnia-Herzegovina mengumumkan
kemerdekaan dengan presidennya Ali Izzat Begovic yang terkenal fikrah Islamnya melalui bukunya “Islam Between East and West”. Saya kira sehingga ke hari ini, di zaman ini,  tiada pemimpin tertinggi umat Islam yang boleh menulis Islam dengan jelas sebaik bukunya di atas. PBB tidak menempatkan Tentera Pengaman.


6- Pada 1992M negara Serbia menyerang umat Islam di negara Bosnia. Bahkan etnik Serbia dalam negara Bosnia turut menyerang jiran rumah sebelah mereka yang beragama Islam.
Disebabkan kelengkapan dan kekuatan tentera Yugoslavia ada pada Serbia, beserta geografi Bosnia yang terkepung di tengah-tengah Yugoslavia, lebih 250,000 orang Islam dibunuh dan
 lebih 2 juta yang menjadi pelarian, menyangkal angka 11,000 sahaja yang dibunuh seperti yang didakwa oleh media Barat.

7- Di akhir tahun 1994, bilangan Mujahideen terutamanya orang-orang Arab masuk ke Bosnia untuk berjihad menyelamatkan saudara seIslam mereka yang teraniaya. Mereka lebih tersusun dan berjaya dengan adanya bimbingan dan pimpinan para Mujahideen yang berpengalaman dalam Jihad di Afghanistan yang akhirnya meruntuh Soviet Union pada tahun 1991.

8- Di tangan Mujahideen, bilangan tentera Serbia yang terbunuh dan pelarian Serbia semakin meningkat. Menurut berita, bilangan pelarian Serbia di saat itu mencecah 80,000 orang.
Jika Barat berdiam diri, bukan sahaja Serbia dikalahkan, tetapi juga German, Perancis, Italy dll. Amerika (Bill Clinton) campur tangan dan menekan semua pihak yang bertelagah (Serbia + Bosnia + Croatia) agar menandatangani Perjanjian Damai Dayton.

9- Perjanjian Dayton selain menegaskan “perdamaian”, ia juga meminta Kerajaan Bosnia menghalau keluar mereka yang bukan warganegara Bosnia dari bumi negara Bosnia, terutama warga Arab di kalangan para Mujahideen. Perjanjian ini dengan sendirinya menamatkan Jihad Islam yang sedang berputik di sana.

Inilah sejarahnya. Semoga kita menjadi sebahagian daripada kebangkitan umat islam. Yakinlah kemenangan adalah di tangan kita. Cita-cita hari ini adalah kenyataan hari esok.

Bangkitlah menjadi orang yang hebat!!

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.  Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." [3:110]

Sekian. Terima kasih.

rujukan :
http://www.ismaweb.net/v4/memperingati-15-tahun-kejatuhan-bosnia, 
[*Dipetik dengan sedikit pengubahsuaian daripada tulisan Ustaz Abdul Halim bin Abdullah (Naib      Presiden I ISMA) bertajuk Radovan ke pengadilan… ala Barat.]

hakcipta terpelihara@mambi86.blogspot.com/2010

July 12, 2010

Pulang ke Wangsa Maju



Hari-hari yang aku lalui kembali menggamit rasa akan sayang pada ummat ini. Setelah selesai program, bertemu mendapatkan nasihat daripada para Qudama dan berukhwah, maka petang tadi, dalam perjalanan pulang dari UKM ke KL sentral dengan menaiki KTM sekali lagi membangkitkan rasa resah. Berbagai ragam warga kota dapat diperhatikan. Di sana ramai muda-mudi yang keluar shopping, ada yg berpasangan couple siap lap2 kan peluh kat dahi lagi (geram). Melihat cara pakaian sahaja sudah tahu betapa mereka tidak memahami islam sepenuhnya. Dalam keadaan bersesak-sesak dan berlaga-laga , aduh. mereka sudah biasa agaknya dan itulah realiti. Dalam kebosanan berdiri dan bersesak itu, sempat ana taaruf dengan seorang budak. Nama dia firdaus mohd yang merupakan pelajar baru UKM. Kebetulan dia amik jurusan mekanikal dan ana jugak lulusan degree mekanikal.  perbualan jadi best sebab dia tanya pasal course mekanikal. Dia asal sungai buloh rupenya. perkenalan kami berakhir dengan janji untuk bertemu di facebook. Alhamdulillah. Ana teringat kisah Abbas Assisy ketika dia berkenalan dengan mad'u dalam bas, dia pijak kaki mad'u dan gunakan alasan dia rabun. Begitulah, sebenarnya ana yakin kalau kita berani memulai dalam hal yang baik, maka natijahnya kebaikan akan hadir. Hassan Al Bana juga ada berpesan, taaruf adalah asas dakwah kita. Menunjukkan sebuah isyarat bahawa setiap dai mesti punyai kebolehan memulakan perkenalan untuk mendekati mad'u.  kesimpulannya, ana lihat untuk merubah masyarakat, kita kena mulai dari diri kita. Dan jalan tarbiyah islamiyah adalah solusinya.

Seterusnya sampai sahaja di Rumah, alhamdulillah bertemu dengan keluarga. Mereka semua sihat,  . Malamnya pula, menarik sekali. Biasanya abah akan pergi dengar ceramah hampir setiap malam di surau-surau sekitar wangsa maju. Menariknya di KL ni, meskipun banyak orang mengatakan ia terkenal dengan lubuk maksiat. Namun hakikatnya, KL juga terkenal dengan majlis ilmu (kuliah agama dan ceramah) setiap malam dianjurkan di surau2 dan masjid. Cuma kita sahaja nak pergi atau tidak. So, memang kebiasaannya kalau ana balik, jika tiada program lain, kami akan follow abah dengar ceramah dan kami akan pilih surau yang penceramahnya best2 shj (menarik, ada dalam 5 pilihan dengan jadual kuliah agamanya skali). Malam ni surau al-khauthar seksyen 5 jadi pilihan. Kuliah berkenaan tafsir surah Yaasin. Menarik ustaz tu mengupas isu wahhabbi. dan isu semasa dan sampai kat bab pakai serban dan kopiah. Tiba-tiba ana jadi perhatian. pergh!! ingatkan  baju yang ana pinjam daripada abang ana ni cantik sangat dan segak bergaya, rupa-rupanya dalam ramai-ramai pendengar yang hadir ada la dalam 70 orang, ana sorang je x pakai kopiah. walaupun bukan bid'ah, tapi terasa la jugak. Dok barisan 3 dan tengah2 pulak..nasib baik ustaz tu fikrah jenis pertengahan. Dia kata dalam hal2 sunnah jangan paksa, biarkan dia (ana le tu) dan kalau hal2 wajib nak paksa tak pe. (Merah muka). pandai ustaz tu gurau..
sempat jugak perhati berapa ramai orang muda hadir. memang x ramai. 

p/s: Disebabkan HP sony sudah hilang, maka tidak dapat lagi merakam gambar-gambar sepanjang perjalanan. harap semua pembaca dapat doakan agar penulis dapat HP baru. Amin...

Catatan harianku
yang benar,
mambi. [11:50 pm@wangsa maju]

hakciptaterpelihara@mambi86/2010






July 4, 2010

Makrifat cinta


Hari-hariku kembali cerah, secerah awan di langit dunia. Seperti sepasang rama-rama yang terbang melintas di tasik yang indah, mengepakkan sayap-sayapnya itu, melintas di atas jambatan indah menuju ke satu titik impian. sambil menghirup udara segar Alamanda dan menikmati ketenangan hari yang segar. Seperti jiwa-jiwa yang lain, aku juga mahu menuju impianku agar ia menjadi sebahagian daripada hari-hariku. Terbayang selalu di mataku   bayangan, wajah ibuku, ayahku, abangku dan wajah adikku. Selalu ku berharap agar jalan yang ku temui ini mampu memberi kalian sentuhan kemanisannya agar bukan aku sahaja yang merasa. Aku berharap agar cintaku diterima oleh Sang Maha Pencipta agar semua makhluk turut aku cintai Kerana-Mu.

Kerana dunia yang aku lalui ini, seolah-olah sudah hilang rasa cinta. Bila aku berjalan di hadapanku, kelihatan banyak orang durjana menipu,bergaduh dan fitnah menjadi pakaian mereka hanya kerana dunia yang dikejar. Bila aku menoleh ke kananku, kelihatan ada manusia yang baik tutur katanya, tetapi buruk akhlaknya, hilang sudah pakaian takwanya. Amal-amal itu mahu mereka pamer menebus sanjungan dan kemenangan politikus  sempit. keikhlasan sudah tiada erti lagi dalam jiwa mereka. Lalu seandainya aku menoleh ke kiri ku, sebolehnya aku tidak mahu melihat tetapi dunia yang aku singgah ini tetap mahu aku melihat di sana mereka sudah hilang malu pada Tuhan dan makhluk-Nya. arak, judi, zina, bunuh dan segala kejahatan  menjadi kehidupan mereka. Ada apa dengan cinta seandainya ia hanya menjadi alat untuk nafsu? Mengapa mereka tidak menikah langsung dengan wanita yang mereka cintai tanpa keizinan itu, seandainya aku punya ruang, pasti aku akan mengkhitbah wanita yang aku senangi kerana agamanya, kerana akhlaknya, kerana dakwahnya dan kerana keyakinanku. 


Barangkali mereka sudah lupa, agama ini punya ruang untuk manusia  mencari cinta dan merasai cinta. Aturan seni agama ini akan membahagiakan siapa sahaja yang  mengikutinya. Sebagaimana cintanya Khadijah kepada Muhammad. Oh indahnya dan bahagianya mereka. Sebaliknya sengsara bayi dibuang, maruah tercemar adalah kerana akal itu tidak dipandu oleh islam . Sesudah itu juga islam masih punya ruang, taubat masih Allah membuka seluasnya sebagaimana kasih ibu yang sentiasa membuka daun pintu rumahnya seluas-luasnya kepada anak yang lari ke lombok.  


Dibelakangku pula, betapa banyak jiwa-jiwa itu yang lupa akan adanya hari pembalasan, adanya hari-hari saat amalan dihitung dan ada saat-saat akan masuk ke dalam dunia azab neraka atau syurga. Mereka lalai dan lupa. Bagaimana dengan diriku dan diri kamu yang membacanya ini? Adakah kalian turut merasai apa yang aku rasa? Lemahnya Ummat ini! Hinanya ummat ini?

Kini mereka di sibukkan oleh sebiji bola  yang tiada makna dan erti di mata Tuhan yang Maha Esa. Masjid yang indah apa mungkin di tukar menjadi skrin besar lalu ditayangkan  perlawanan akhir bola sepak , baru ummat ini akan hadir dan memenuhinya. Barangkali akan ada yang sanggup i'tikaf di masjid setiap malam kerana betapa ruginya mereka akan rasa seandainya seminit tidak menyaksikkan bola itu disepak, lebih rugi rasanya dalam hati mati itu daripada ruginya rasa tertinggal solat tahjjud.


Kalian para dai? Benar? Kalau begitu, alasan apa yang menjadi hujah kalian turut berada dikalangan mereka? Untuk mendakwahi mereka lalu turut bersama mereka selama 90 minit ditambah 3 minit masa kecederaan?
Apakah Surah Al-Mujadillah sudah menjadi kelancaran di ingatanmu? Apakah masamu melebihi tangggungjawab yang ada dalam hari-harimu? Barangkali ini yang aku peroleh daripada perjalanan antara Sibu dan kuching semalam.

Mari bersama kafilah dakwah ini, kita bangkit menjadi orang yang hebat. Dalam dirinya penuh rasa cinta dan semangat untuk menyelamatkan ummat islam tercinta ini. 

sekian. terima kasih kerana sudi menghayati.
hakcipta terpelihara@mambi86   .......4/7/2010


 

July 2, 2010

Jangan Pernah Lemah


Selalu kita terasa lemah kerana ia ada dalam fikiran kita. Selalu kita tewas kerana lemahnya iman dan semangat.
sedangkan Tuhan telah lama berfirman:

" Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." [3:139]

Melihat ummat islam sedang  lemah dan hina. Maka memerlukan jawapan, Apa yang sedang anda lakukan sekarang? menghabiskan waktu melayan facebook? atau duduk -duduk sahaja?

Bangkitlah menjadi orang yang hebat, kerana islam hanya mampu dibangkitkan oleh orang yang hebat.

"Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."[9:105] 



jadikan waktu-waktu utama anda untuk dakwah dan ibadah